PENGENALAN & LATAR BELAKANG



Sejarah perkembangan awal MBIP ini bermula dengan penubuhan 8 buah Majlis Tempatan bagi setiap kawasan. Di sekitar tahun 60-an, Majlis Tempatan Skudai telah ditubuhkan pada tahun 1953 mengikut undang-undang Majlis Tempatan 1952 dan “The Town Board Enactment” No.118. Majlis tempatan ini ditadbir oleh sebuah Lembaga Pengurusan yang mempunyai lapan orang ahli mesyuarat dan enam daripadanya terpilih di bawah Akta Pilihan Raya Majlis Tempatan 1960. Pada tahun 1970, luas kawasan bertambah kepada 340 ekar, bilangan rumah kedai pula bertambah sebanyak tiga kali ganda iaitu 536 unit dari tahun 1957 hingga 1976. Hal ini kerana projek pembangunan telah dibangunkan oleh pihak swasta.

Majlis Tempatan Lima Kedai pula ditubuhkan pada 1 Ogos 1954. Penempatan di sini telah bermula selepas pembinaan sebuah kediaman berhampiran dengan kuari oleh seorang pegawai Inggeris. Beliau juga yang bertanggungjawab membina lima kedai berhampiran jambatan. Pada awal penubuhan Majlis Tempatan Lima Kedai ini, sebuah rumah telah disewa untuk dijadikan pejabat. Pada 31 Mei 1959, satu Pilihan Raya Majlis Bandaran dan Tempatan telah diadakan dan seorang pengerusi telah dilantik. Kerajaan juga telah mencadangkan pilihanraya diadakan setiap tahun. Oleh itu, pada tahun 1962, satu lagi Pilihan Raya telah diadakan.

Pada 3 September 1953, Majlis Tempatan Gelang Patah ditubuhkan dan ditadbir oleh Penolong Pegawai Daerah dibantu oleh enam orang Ahli Majlis yang dipilih oleh penduduk. Majlis Tempatan Gelang Patah ditadbir mengikut undang-undang Majlis Tempatan 1952 dan “The Town Board Enactment” No.118. Pihak kerajaan telah memberikan bantuan kewangan untuk memudahkan pihak Majlis Tempatan menjalankan pentadbirannya dengan lancar.

Berikutan pertambahan penduduk, Majlis Tempatan Plentong telah ditubuhkan pada tahun 1953 untuk menjaga keselamatan kawasan tersebut. Pada tahun 1958, sebuah balairaya dibina oleh kerajaan untuk kemudahan penduduk. Manakala pada tahun 1967, bersebelahan balairaya tersebut pula dibina sebuah pejabat Majlis Tempatan Plentong untuk dan diadakan pililihan raya setiap tahun.

Majlis Tempatan Kangkar Pulai telah ditubuhkan pada 15 Mac 1953 bagi mengurus hal ehwal kampung seperti kebersihan, kesihatan, kebajikan sosial, agama dan sebagainya. Pada mulanya hanya sebuah bilik kecil dijadikan pejabat sementara di kangkar Pulai dan Pejabat Majlis Tempatan ini kemudiannya dipindahkan ke Dewan Perniagaan Tionghua pada bulan Mac 1955. Manakala pada tahun 1961, Pejabat Majlis Tempatan Kangkar Pulai kemudiannya telah dipindahkan dari bangunan Dewan Perniagaan Tionghua ke Balai Raya Kangkar Pulai yang dibina Kerajaan.

Kampung Ulu Choh dibentuk pada 1951 dan pada awal 1953, Batu 22 telah diisytiharkan sebagai Majlis Tempatan Ulu Choh. Pihak kerajaan kemudiannya melantik beberapa orang tempatan yang dikenali sebagai Ahli Majlis. Pada tahun 1959, pilihan raya Majlis Tempatan Ulu Choh yang pertama telah diadakan untuk memilih pihak berkuasa tempatan. Pada mulanya Ulu Tiram hanya didiami oleh 500 orang lengkap dengan balai polis dan wakil pos. Pada tahun 1949 dan 1951 suasana mula berubah apabila penempatan semula Resettlement dilakukan oleh kerajaan semasa darurat. Pada ketika ini, penduduk telah dikumpulkan dan diberi pelbagai keperluan asas. Pada 1949 sebuah New Village Committee dibawah seliaan Resettlement Officer telah ditubuhkan. Pada akhir 1953, Majlis Tempatan Ulu Choh diisytiharkan mengambil alih New Village Committee.

Majlis Tempatan Masai pada mulanya hanya sebuah penempatan kecil. Perubahan demi perubahan berlaku disebabkan ancaman komunis. Pada 1952, kerajaan telah mengikuti langkah Majlis-majlis Tempatan lain dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mentadbir kampung tersebut. Pada tahun 1953, Majlis Tempatan Masai telah ditubuhkan dengan dianggotai sembilan ahli jawatankuasa.

Hasil daripada perkembangan penduduk dan pertambahan pegangan seluas 104.7 kilometer persegi dengan jumlah penduduk seramai 150,000 orang, maka pada 1 Mac 1978, Majlis Daerah Johor Bahru Tengah (MDJBT) telah ditubuhkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) menggabungkan kesemua lapan (8) buah Majlis Tempatan ketika itu.

Kesan dari pertumbuhan yang berterusan pada tahun 1995, MDJBT telah diperluaskan kawasan pentadbirannya sehingga 303.485 kilometer persegi dengan jumlah pegangan meningkat kepada 98,515 unit dan jumlah penduduk bertambah sehingga mencapai 500,000 orang. Ianya terbahagi kepada dua kawasan iaitu kawasan Barat seluas 216.83 kilometer persegi manakala kawasan Timur pula seluas 86.655 kilometer persegi.

Pada 27 Januari 2001, Johor Bahru Tengah mencipta sejarah sekali lagi apabila MDJBT diisytiharkan sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang bertaraf Perbandaran iaitu kepada MPJBT. Seiring dengan kenaikan taraf Perbandaran, keluasan kawasan pentadbiran MPJBT telah bertambah kepada 563.46 kilometer persegi yang terbahagi kepada dua zon utama iaitu Zon Barat dan Zon Timur. Zon Barat merangkumi kawasan Skudai, Kangkar Pulai, Ulu Choh, Lima Kedai, Nusajaya dan Gelang Patah. Manakala Zon Timur pula merangkumi kawasan Ulu Tiram, Masai dan Plentong. Peningkatan hasil kepada lebih RM50 juta setahun menjadikan MPJBT berkemampuan dan berkeupayaan dalam mengunjurkan perancangan pembangunan yang merangkumi pelbagai aspek termasuklah pembangunan insfrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan sosio-ekonomi, pembangunan pengindahan, pembangunan pelancongan dan pembangunan teknologi maklumat (IT).

Dengan wujudnya kawasan Wilayah Iskandar Malaysia, Johor Bahru Tengah kini menjadi tempat tumpuan utama pembangunan sehingga ke peringkat Antarabangsa. Pembangunan berskala besar seperti ini telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan menjana ekonomi Negeri Johor.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bersidang pada 2 Julai 2014 telah bersetuju dengan cadangan persempadanan semula Pihak Berkuasa Tempatan Daerah Johor Bahru dan Kulai. Maka mulai 1 Januari 2016, kawasan tadbir MPJBT kini hanya meliputi kawasan di sebelah barat daerah Johor Bahru sahaja. Kawasan ini meliputi seluruh Iskandar Puteri, Skudai, Gelang Patah, Kangkar Pulai, Tanjung Kupang dan Tanjung Pelepas. Justeru itu, penggunaan nama “Iskandar Puteri” oleh Pihak Berkuasa Tempatan telah dipilih selaras dapat meningkatkan imej PBT.

Pada 22 November 2017, sekali lagi MPJBT melakar sejarah dengan pengisytiharan sebagai Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. MBIP kini berkembang pesat membangun menjadi sebuah bandar raya. MBIP juga menyelenggara jalan sepanjang 1,483.51 km di kawasannya.

Sehingga September 2017, MBIP telah mempunyai 157 buah penempatan terancang dengan 45 buah kampung. Kewujudan penempatan yang terancang adalah berpunca daripada keadaan geografi Johor Bahru Tengah yang merupakan sub-urban dalam kawasan bandar Johor Bahru. Pada masa yang sama, mereka dapat mengecap perkhidmatan bandar raya dan kemudahan awam setara dengan bandar raya Johor Bahru.



PENGENALAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN MBIP



Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan merupakan elemen yang di titik beratkan dalam menjamin pengoperasian Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dengan berkesan dan produktif. Pelaksanaan secara menyeluruh dari kerjasama semua pihak terhadap mematuhi peraturan dan arahan, mengikuti program-program yang dilaksanakan pasti menjanjikan kesinambungan kepada kejayaan pelan yang dirangka.

Majlis Bandaraya Iskandar Puteri telah mewujudkan tempat kerja yang selamat melalui setiap peringkat. Di tahap pentadbiran, MBIP telah menyediakan polisi atau dasar keselamatan. Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah di lantik seramai 97 orang yang diwakili oleh wakil majikan dan wakil pekerja setiap Jabatan/ Bahagian/ Unit. Perbincangan mengenai isu-isu keselamatan di tempat kerja dibincangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Jabatan secara berkala. Setiap kemalangan dan kemalangan nyaris dicatat dan disiasat seterusnya membuat penilaian untuk langkah pencegahan. Setiap pekerja diberikan latihan mengenai cara kerja selamat dan mengikut Standard Operating Prosedur (SOP) yang ditetapkan. Peti rawatan kecemasan disediakan di setiap bahagian dan diisikan dengan keperluan perubatan kecemasan.

Bagi memastikan persekitaran kerja selamat, Audit Kendiri Keselamatan Tempat Kerja dilaksanakan secara berkala. Melalui audit ini, terdapat pelbagai aspek yang dinilai bagi memastikan persekitaran kerja selamat. Tempat kerja dipastikan sentiasa kemas, keadaan lantai bersih dari sebarang halangan dan tumpahan minyak. Stor pula disusun dengan teratur, semua bahan dilabel dan bahan kimia atau racun serangga dihindarkan dari disimpan bersama-sama dengan makanan atau minuman. Data Keselamatan Penggunaan Bahan (MSDS) di simpan bagi rujukan pekerja. Tanda-tanda keselamatan dipaparkan seperti dilarang merokok, laluan kecemasan dan sebagainya. Perkakas, mesin dan tempat duduk mengambil kira aspek ergonomik. Selain itu, kemudahan tandas, tempat cuci, ruang rehat turut disediakan dilokasi kerja masing-masing.

Aspek Keselamatan kebakaran, MBIP sentiasa memastikan alat pemadam api serta hos di tempat kerja sentiasa diperiksa tarikh luput dan berfungsi. Tempat berkumpul semasa kebakaran di tandakan, pelan evakuasi semasa kebakaran dipaparkan serta latihan kebakaran dilakukan dengan bantuan pihak BOMBA.

Penggunaan alat perkakas dengan selamat turut diberikan penekanan. Setiap peralatan di periksa penyambungan dengan memastikan sambungan litar elektrik tidak melebihi had. Sambungan elektrik yang rosak perlu dibaiki oleh pihak yang kompeten. Latihan diberikan kepada setiap pekerja tentang penggunaan mesin yang selamat.

Alat perlindungan keselamatan diri (PPE) adalah diwajibkan bagi aktiviti yang berisiko tinggi. Penggunaan alat perlindungan keselamatan diri yang betul adalah ditegaskan oleh setiap Jabatan/ Bahagian/ Unit. Setiap pemberian dan pelupusan alat perlindungan keselamatan diri direkodkan. Sekiranya terdapat alat yang rosak, penggantian alat akan dilakukan. Bagi memastikan aspek ini sentiasa dipatuhi, bajet telah diperuntukkan secara tahunan oleh Jabatan.